Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) adalah sebuah persatuan dan badan bukan kerajaan yang berlatarbelakangkan seni dan budaya melayu dengan aktiviti teras adalah bagi memperkenalkan dan mengembangkan Silat Cekak Malaysia kepada orang-orang Melayu dan Islam di tanah air.
1.1 Kelas Latihan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Ibu Pejabat AU4 telah mula dibuka pada bulan Mac 1988 setelah permohonan untuk menyewa kawasan lapang diluluskan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Kawasan lapang inilah yang telah menjadi tapak kelas latihan Silat Cekak Malaysia hinggalah sekarang.
1.2 Wujudnya kelas latihan ini telah memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mempelajari Silat Cekak. Mempelajari ilmu beladiri masih lagi relevan sejajar dengan keperluan masa kini dalam menempuh kehidupan yang semakin dicengkam dengan pelbagai cabaran dan kemelut gejala sosial.
1.3 Ilmu beladiri Silat Cekak yang diajarkan kepada ahli-ahlinya boleh dipertanggungjawabkan bukan sahaja ke atas dirinya sendiri, malah juga keluarga, masyarakat, agama dan negara.
1.4 Selain ilmu persilatan, PSSCM juga memberi pengisian dan kefahaman melalui pendekatan budaya Melayu yang berteraskan ajaran agama selaras dengan visi dan misi negara untuk melahirkan bangsa Melayu yang memilki jati diri yang sebenar.